Wednesday, 7 December 2011

DEFINISI GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEPENUH MASA

PANGGILAN/GELARAN GURU KAUNSELING, KPM:

Sehingga hari ini panggilan/gelaran Guru Kaunseling sekolah rendah dan menengah adalah berbeza. Namun, setelah dikaji dan merujuk panggilan sepertimana guru-guru lain - Guru Pendidikan Jasmani, Guru Matematik dan Guru Sains, gelaran untuk Guru Kaunseling samaada yang berkhidmat di sekolah rendah mahupun menengah perlulah disamakan. Tambahan pula terdapat sebilangan Guru Kaunseling di sekolah rendah juga memiliki ijazah sarjana muda dalam bimbingan dan kaunseling. Justeru, untuk memudahkan kefahaman dan mengelakkan sebarang kekeliruan dikalangan masyarakat, maka panggilan khusus untuk guru sekolah menengah dan sekolah rendah yang berkenaan adalah GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Antara panggilan dan gelaran yang pernah diberikan adalah:
Sekolah Menengah:
  1. Guru Panduan
  2. Guru Kaunseling
  3. Guru Kaunseling Sepenuh Masa
  4. Pegawai Kaunseling Pelajar
  5. Kaunselor Pelajar
  6. Kaunselor Pelajar Sepenuh Masa
  7. Kaunselor Sekolah Sepenuh Masa

Sekolah Rendah:
a.  Guru Bimbingan
  1. Guru Bimbingan Sepenuh Masa



GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEPENUH MASA

Bagi menjelaskan lagi maksud sepenuh masa, berikut adalah keterangan tentang definisi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah dan menengah sepertimana yang telah di jelaskan oleh surat-surat pemberitahuan berhubung dengan pelaksanaannya iaitu KP (BS/PSR) 8542/019/Jld 11 (9) bertarikh 27 Mei 1998 dan  KP (BS-MEN/REN) 8510/06 bertarikh 19 Ogos 2002 (Pekeliling dilampirkan).

Guru Kaunseling (sekolah menengah) dan Guru Bimbingan (sekolah rendah) adalah gelaran yang diberikan kepada guru yang memberikan perkhidmatan secara sepenuh masa didalam bidang bimbingan dan kaunseling di sekolah.

Sepenuh masa  membawa maksud Guru Bimbingan dan Kaunseling (sekolah rendah dan menengah) memberikan perkhidmatan sepenuh masa dengan waktu bertugas mengikut waktu persekolahan sama seperti guru matapelajaran biasa. Contohnya seorang Guru matematik mengajar Matematik sebagai matapelajaran utama, seorang guru agama bertanggung jawab dan memenuhkan jadual mingguan dengan matapelajaran Agama dan guru Pendidikan Jasmani bertanggungjawab sepenuhnya dengan Pendidikan Jasmani. Sepenuh masa bermaksud seluruh jadual waktu bekerja Guru Bimbingan dan Kaunseling perlulah dipenuhi dengan memberikan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling untuk murid samaada di dalam bilik darjah ataupun lain-lain tempat yang sesuai.

Tugas dan tanggungjawab utama Guru Bimbingan dan Kaunseling adalah meliputi 8 bidang iaitu :
1. Perkhidmatan Kaunseling Individu dan Kelompok
2. Kerjaya
3. Akademik
4. Psikososial dan Kesejahteraan Mental
5. Keibubapaan
6. Pembangunan Diri Murid
7.Pendidikan Pencegahan Dadah,  Rokok, HiV dan Aids
8. Pengurusan dan Pentadbiran Kaunseling

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang diberikan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah rendah dan menengah adalah meliputi tajuk-tajuk pengajaran dan pembelajaran  seperti berikut:
Matapelajaran murid tahun 1 hingga  tingkatan 6
  1. Kemahiran Belajar
  2. Pendidikan Panduan Kerjaya
  3. Pendidikan Psikososial dan Kesejahteraan Mental
  4. Pendidikan Kepimpinan Murid
  5. Pendidikan Pencegahan Dadah dan Rokok
  6. Pendidikan Pencegahan HIV dan AIDS
Catatan : Tajuk subjek matapelajaran adalah sama, tetapi berbeza dari segi tahap isi kandungannya.  Kesemua modul sukatan matapelajaran  yang dinyatakan diatas telah siap dibina dan akan dicetak pada tahun 2008 seterusnya diedarkan di setiap sekolah seluruh negara untuk panduan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Dalam lain-lain perkataan, jika seorang Guru Matematik bertanggung jawab mengajar matematik, seorang Guru Bahasa Inggerís diberi elaun dan bertanggung jawab dengan matapelajaran Bahasa Inggerís dan seorang guru agama bertanggung jawab mengajar matapelajaran agama, maka adalah wajar secara profesional nya seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling diberi tanggung jawab manjalankan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk murid. Ini memenuhi matlamat “JERI” dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tanggung jawab “J” kepada Guru Pendidikan Jasmani, “R” kepada guru agama dan moral, “I” kepada guru-guru akademik, maka “E” seharusnya menjadi tanggungjawab Guru Bimbingan dan Kaunseling. Ia mungkin baru dan asing pada kefahaman kebanyakan orang, tetapi KPM perlu tegas dalam melaksanakan tanggung jawab dan pengagihan tugas secara cekap dan profesional kerana KPM mempunyai ramai guru yang terlatih dalam pelbagai bidang yang tersendiri.


Waktu bertugas:
Semua Guru Bimbingan dan Kaunseling perlulah menjalankan tugas mengikut jadual waktu persekolahan normal iaitu samada sesi pagi atau petang. Ini adalah bertujuan untuk menjelaskan kekeliruan maksud arahan Bahagian Sekolah KP(BS) 8591/Jld.VII(56) bertarikh 6 Mei 1997 semasa gelaran yang diberikan kepada perkhidmatan ini adalah Pegawai Kaunseling  Sepenuh Masa atau Kaunselor Relajar Sepenuh Masa.  Perkataan “pagawai” menjadikan kefahaman waktu bertugas mengikut waktu pejabat, sedangkan Guru Bimbingan dan Kaunseling adalah guru biasa sahaja tanpa keistemewaan “pegawai” seperti cuti dan lain-lain elaun berkaitan. Guru Bimbingan dan Kaunseling bagaimana pun dibenarkan cuti sebagaimana guru lain pada waktu cuti persekolahan kecuali jika ada program murid.

Situasi waktu pekeliling dikeluarkan, (6 Mei 1997) adalah semasa  hanya ada  seorang sahaja Guru Bimbingan Dan Kaunseling di sekolah, maka keperluan perkhidmatan kaunseling amat kritikal. Bahagian sekolah meminta budibicara Pengetua dan Guru Besar untuk mengaturkan jadual waktu anjal supaya Guru Bimbingan dan Kaunseling dapat memberikan perkhidmatan sewajarnya kepada seramai mungkin murid yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Namun jadual begitu tidak perlu lagi kerana terdapat penambahan bilangan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang guru kepada 500 orang murid.


Kekangan tugas :
Guru Kaunseling Sepenuh Masa yang dilantik tidak dibenarkan diberi jadual waktu mengajar atau kelas ganti tetap (berjadual). Rujuk Surat KPPM bertarikh 21 Mac 1999 bertajuk PENEMPATAN GURU KAUNSELING SEPENUH MASA yang menegaskan mereka tidak sepatutnya diberikan waktu mengajar. Ini bertujuan mewujudkan sistem perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang mantap, berterusan dan tersedia setiap masa untuk murid. Perkhidmatan yang lengkap ini akan dapat memberi sumbangan ke arah kemajuan serta kesejahteraan sekolah. Surat Bahagian Sekolah, KP(BS/PSR)8542/019/Jld.1(9)  bertajuk TUGAS DAN PERANAN KAUNSELOR PELAJAR. PERLAKSANAAN KAUNSELOR SEPENUH MASA menegaskan lagi setelah mendapat laporan Jemaah Nazir 1997 bahawa masih ramai Kaunselor Pelajar Sepenuh Masa mengajar walaupun teguran dari pihak Menteri telah dikeluarkan, surat KP(BS)8591/Jld/VII(56) bertarikh 6 Mei 1997 bertajuk PERLAKSANAAN KAUNSELOR SEPENUH MASA dan Pekeliling Iktisas Bil. 3/96 bertarikh 11 Julai 1996 adalah dirujuk.





Kedudukan Guru Kaunseling:
Guru Kaunseling adalah dikeluarkan secara perjawatan “over and above” norma peruntukan perjawatan sekolah seperti yang diperuntukan dalam (326)95/ABM 96 dan perkara ini telah diluluskan melalui minit YB Dato Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia bertarikh 14 Disember 1995.

Walau bagaimana pun, sehingga hari ini masih terdapat banyak sekolah keliru dengan situasi ini dan mengambil kira bilangan Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam pengagihan jadual waktu. Ini menyebabkan perkhidmatan kaunseling sekolah terganggu dan murid tidak mendapatkan perkhidmatan yang disediakan kerana Guru Bimbingan dan Kaunseling  melaksanakan tugas sampingan (mengajar akademik atau kelas ganti) sedangkan tugas hakiki mereka untuk memberikan perkhidmatan kepda murid terabai.

Harus diberi perhatian, kegagalan Guru Bimbingan dan Kaunseling memberikan khidmat mereka tidak dapat diganti atau “relief” oleh mana-mana guru lain di sekolah. Maka, adalah wajar mereka diberi kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan melaksanakan perkhidmatan sepenuh masa kepada murid sebagaimana yang telah dipertanggung jawabkan keatas mereka.

Pihak pentadbiran sekolah yang masih tidak mematuhi ketetapan ini perlu diberi penjelasan dan ingatan serta dikehendaki menarik semua jadual waktu mengajar akademik atau kelas ganti  berjadual (tetap) dengan serta merta. Penggunaan Guru Bimbingan dan Kaunseling bagi memenuhi jadual waktu di sekolah dengan terang menafikan wajaran serta melanggar keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri dan arahan Menteri Pendidikan Malaysia seperti yang dinyatakan dalam PANDUAN PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING DI SEKOLAH MENENGAH bertarikh 1 April 1996 dan PERLANTIKAN KAUNSELOR SEPENUH MASA (KAUNSELOR PELAJAR) bertarikh 18 Mac 1996.- lampiran

Maklumat di atas amat penting bertujuan untuk mengelakkan salah tafsiran tentang waktu perkhidmatan Guru Bimbingan dan Kaunseling (menengah dan rendah) dikalangan pentadbir sekolah di seluruh negara. Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri seluruh negara diminta memanjangkan maklumat berkenaan dan mematuhi segala peruntukan yang terkandung  dalam surat berkenaan dan surat KP (BS) 8591/Jld VIII/ (56) bertarikh 6 Mei 1997.

Sekian dimaklumkan dan pertimbangan Majlis Mesyuarat Tertinggi Pengurusan KPPM dipohon bagi menyokong dan meluluskan penambahbaikan pekeliling Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah dan pelaksanaan pekeliling Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Rendah.





Rujukan:

1.     Pekeliling Iktisas Bil 3/96 bertarikh 11 Julai 1996
2.     Surat KP(BS-HEP)8543/6D/(91) bertarikh 1 April 1996, PANDUAN PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING DI SEKOLAH MENENGAH.
3.     Surat KP(BS-HEP)8543/6D/(91) bertarikh 18 Mac 1996, PERLANTIKAN KAUNSELOR SEPENUH MASA (KAUNSELOR PELAJAR)
4.     Surat KP(BS/PSR)8542/019/Jld.1(9) bertarikh 27 Mei 1998 bertajuk TUGAS DAN PERANAN KAUNSELOR PELAJAR. PERLAKSANAAN KAUNSELOR SEPENUH MASA.
5.     Surat KP(BS/HEP)8543/019/Jld.II(45) bertarikh 21 Mac 2000 bertajuk PENEMPATAN GURU KAUNSELING SEPENUH MASA
6.     Surat KP(PP)0051/1/Jld.8/(24) bertarikh 3 Ogos 2001 bertajuk PERJAWATAN GURU KAUNSELING SEPENUH MASA DI SEKOLAH MENENGAH DAN SEKOLAH RENDAH.
7.     Surat JPA(S)253/2/11 Klt.72 bertarikh 5 November 2001 bertajuk PERLAKSANAAN GURU KAUNSELING SEPENUH MASA DI SEKOLAH MENENGAH DAN SEKOLAH RENDAH
8.     Surat KP(BS-MEN/REN)8510/06 bertarikh 19 Ogos 2002 bertajuk PEMBERITAHUAN PERLANTIKAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEPENUH MASA (GKSM) PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH / BUKAN SISWAZAH
9.     Memo Perhubungan bertarikh 26 Julai 2001 bertajuk KERTAS MAKLUMAN CADANGAN PEMBEKALAN GURU KAUNSELING SEPENUH MASA DI SEKOLAH MENENGAH DAN SEKOLAH RENDAH
10.  Memo Perhubungan bertarikh 16 Julai 2001 bertajuk MAKLUMBALAS AWAL KEPUTUSAN MESYUARAT JEMAAH MENTERI PADA 11 JULAI 2001.

1 comment:

  1. Harrah's Cherokee Casino & Hotel - MapYRO
    Harrah's Cherokee Casino & Hotel, Cherokee, North Carolina. Directions · 광양 출장샵 (800) 639-5492 · Visit Website. http://www.tripadvisor.com/harrahs-cherokee/ Rating: 3.5 · ‎Review by a Tripadvisor 김제 출장샵 user · 통영 출장마사지 ‎Price range: $ (Based on Average Nightly Rates for a Standard 안양 출장안마 Room from our Partners)What are some of the property amenities at Harrah's Cherokee Casino & Hotel?Which room amenities are available at Harrah's Cherokee Casino & 경상북도 출장샵 Hotel?

    ReplyDelete